KEPENTINGAN TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI [ICT]
Dalam
era ledakan maklumat ini, teknologi maklumat dan komunikasi atau ICT amat
penting. Teknologi ini sudah menguasai global ini dengan berleluasa. Hampir
setiap saat orang menggunakan teknologi ini dan dengan teknologi jugalah
menyebabkan kita boleh menguasai dan mengawal hampir setiap perkara di hujung
jari sahaja. Negara yang tidak mengutamakan ICT akan ketinggalan dalam
arus pembangunan atau umpama katak di bawah tempurung. Kemajuan
ICT ini telah mendatangkan banyak manfaat kepada individu, masyarakat dan
negara.
Sesuatu
perkara yang dicipta atau diwujudkan tentu sekali mendatangkan kebaikan serta
keburukan. Perkara yang baik tentu sekali lebih mendatangkan faedah atau
kepentingan kepada pengguna. Begitu jugalah dengan ICT. Kemajuan ICT telah
menyumbang dalam meningkatkan pengurusan dan pentadbiran negara ke arah
lebih sistematik dan teratur. Segala urusan baik kerajaan mahupun
swasta dapat dipercepat melalui kemajuan ICT. Keadaan ini bukan sahaja
menjimatkan masa, bahkan tenaga, dan wang kerajaan serta rakyat sendiri.
Kegunaan ICT sememangnya cukup mendewasakan Malaysia. Pentadbiran negara
dan swasta menjadi lebih cepat dan cekap. Dengan itu, Malaysia akan lebih cepat
mencapai wawasannya dan mencipta nama di persada dunia ini. Sebagai analoginya,
kerja pengurusan dokumen, permohonan dan sebagainya menjadi tepat dan cekap.
Dengan adanya ICT, data dapat diproses dan disimpan dengan segera tanpa
membuang masa. Urusan kewangan melalui mesin teler automatik (ATM) dan Internet
membolehkan kita menguruskan wang kita di seluruh dunia dengan mudah dan
lancar.
|
Satelit
|
Jika
ditinjau secara lebih mendalam lagi, ICT bukan sahaja membantu dalam
pentadbiran dan pengurusan negara, malah ICT penting dalam ramalan cuaca
dan panduan pelayaran. Jika dahulu, pelayar merujuk kepada kedudukan
bintang di langit untuk dijadikan sebagai “kompas” semasa belayar. Jika
dahulu ada yang merujuk keadaan langit dan awan untuk meramal cuaca
ataupun mempercayai ramalan ahli nujum. Sekarang, dengan adanya satelit cuaca,
fenomena alam dapat diramal dengan lebih tepat serta terperinci. Melalui
satelit cuaca ini, siri gambar awan dapat diambil dan seterusnya kita dapat
meramalkan keadaan cuaca dunia. Persediaan awal dapat kita buat untuk
mengelakkan berlakunya kerugian harta benda dan pengorbanan nyawa.
Banjir, ribut taufan, tsunami, dan gempa bumi adalah antara contoh
fenomena alam yang tidak dapat tidak kita sebagai manusia perlu untuk
mengawalnya dengan membuat persediaan rapi kerana kita perlu sediakan payung
sebelum hujan. Dengan ramalan fenomena El Nino dan La Nina yang tepat
itu, kita dapat membuat persediaan awal. Sebagai contohnya, sistem satelit
aeronautik (USA) dapat menghubungi kapal terbang yang melintasi Lautan Atlantik
dan Pasifik. Teknologi komunikasi pelayaran juga penting dalam sistem
pengangkutan udara dan laut. Teknologi ini berfungsi sebagai panduan pelayaran.
Sistem Satelit Laut (IMMARISAT) dapat mengesan kapal-kapal yang menghadapi
masalah di samping berfungsi sebagai panduan.
|
Hubungan
Antarabangsa
|
Sudah terang lagi bersuluh bahawa ICT memainkan peranan
yang penting kepada dunia. Hal ini dapat dibuktikan apabila ICT mempercepat
hubungan antarabangsa. Dunia seakan-akan menjadi semakin kecil dengan
wujudnya ICT. Kita dapat menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia. Perkara
ini ternyata sekali mengukuhkan ungkapan Dunia Tanpa Sempadan.
Kita dapat berhubung dengan sesiapa sahaja sama ada di laman sembang,
e-mail, sistem pesanan ringkas (SMS), Skype dan sebagainya. Kita juga dapat
menghubungi sesiapa sahaja di seluruh dunia dengan menggunakan telefon
bimbit.
Bukan
itu sahaja, perkembangan semasa yang berlaku di seluruh dunia juga dapat
diikuti dengan serta-merta seperti siaran langsung konsert artis popular,
perlawanan bola sepak dunia dan siaran berita mutakhir. Acara sukan,
persidangan dan sebagainya yang berlangsung di sesebuah negara seperti di Korea
di Jepun mahupun di Amerika Syarikat dapat dipancarkan ke seluruh dunia secara
langsung. Siaran ini dapat ditonton melalui Internet dan Astro, telefon,
faksimili, televisyen, dan persidangan video bergantung pada ICT untuk
membolehkan kita merasai nikmat ini. Internet dan komputer riba turut berfungsi
melalui teknologi serba canggih ini. Sememangnya ICT merupakan pembuka laluan
yang luas kepada masa depan yang gemilang.
|
Pembelajaran
Berbantukan Komputer
|
Kewujudan
ICT turut membantu dalam sistem pengajaran dan pembelajaran (P&P).
Sistem pendidikan di sekolah dimajukan oleh ICT sekali gus mewujudkan sekolah
bestari. Pelajar mendapatkan maklumat dari seluruh dunia melalui Internet untuk
melakukan kerja atau projek-projek di sekolah. Pelajar akan belajar
mengikut kemampuan mereka serta melahirkan generasi yang celik komputer.
Pendidikan di sekolah atau di institusi lebih bercirikan pendidikan jarak jauh.
Peluang pendidikan menjadi lebih luas, selain menjimatkan kos. Pelajar pintar
dan celik IT tidak disekat oleh faktor kelas dan usia. Hal ini melahirkan lebih
ramai cendekiawan. Fakta ini nyata terbukti apabila ada kanak-kanak yang
baru berusia setahun jagung sudah boleh menguasai mata pelajaran Matematik jauh
lebih baik daripada pelajar yang sudah menuntut di institusi pengajian tinggi
(IPT). Pelajaran di sekolah rendah ataupun pelajaran sekolah menengah dapat
dipelajari melalui modul pemelajaran yang disediakan dalam cakera padat-ingatan
baca sahaja (CD-ROM) yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pendidikan
Malaysia.
Sehubungan
dengan itu, selain membantu dalam sistem pendidikan, ICT juga menjadi
penyumbang penting dalam menjaga keamanan dan keselamatan negara.
Kes jenayah yang semakin berleluasa di negara Malaysia dapat diatasi dengan
bantuan ICT. Televisyen litar tertutup (CCTV) banyak digunakan dan ditempatkan
di kawasan-kawasan seperti bank, kasino, lapangan terbang, pangkalan terbang,
dan pasar-pasar raya. Sistem CCTV ini ialah penggunaan kamera video untuk
menghantar isyarat ke tempat-tempat tertentu. Isyarat yang dihantarnya tidak
dihantar secara terbuka, hal ini berbeza sekali dengan televisyen. CCTV ini
digunakan untuk mengawas keselamatan sesuatu tempat yang tertentu sahaja. Di
samping itu, kegiatan jenayah yang berlaku dapat dikesan dan seterusnya
memberkas penjenayah yang terbabit. Dengan bantuan CCTV, akhirnya kanak-kanak
yang bernama Nurin ditemui. Kes penculikan kanak-kanak tersebut pernah
menggegarkan seluruh Malaysia. Kejadian ini tentu sekali kes jenayah yang
sangat kejam. Walaupun mayat kanak-kanak tersebut ditemui dalam keadaan yang
menyayatkan hati, tetapi dengan adanya kamera video dapat merakamkan lokasi beg
yang terkandung mayat kanak-kanak tersebut. Dengan CCTV juga, kes disiplin yang
berlaku di sekolah dapat dikawal oleh pihak sekolah.
Bertitik
tolak dari itu, kita dapat melihat bahawa pembangunan negara bergantung pada kemajuan
teknologi maklumat dan komunikasi (ICT). Langkah kerajaan melancarkan Koridor
Raya Multimedia (MSC) sememangnya tepat pada masanya. Sudah tiba masanya untuk
negara Malaysia berjaya di peringkat kebangsaan mahupun serantau. MSC memainkan
peranan penting untuk menjadi pemangkin kemajuan ICT di Malaysia. Untuk
menjayakan harapan ini, semua pihak tidak kira pihak kerajaan ataupun pihak
swasta, perlulah berganding bahu bersama-sama rakyat bagai aur
dengan tebing, sehati seia untuk melonjakkan nama negara Malaysia ke
pentas dunia.
Comments
Post a Comment